Selasa, 11 Januari 2011

Kes Buli pelajar di Kedah, 5 pelajar ditahan....



Seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Alor Star dikatakan retak lutut kirinya selepas didakwa dibuli oleh lima orang pelajar Tingkatan Tiga sekolah yang sama Ahad lepas.

Johari Zainon, 35, iaitu bapa kepada Mohd Syazwan Johari, 14, berkata setelah diperiksa di hospital, lutut anaknya itu didapati retak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supt Baharom Abu berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan tengah malam tadi dan lima pelajar telah ditahan kira-kira 2.30 petang hari ini di hadapan sekolah berkenaan.

"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan sengaja," katanya.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 6.55 petang apabila mangsa dipanggil oleh seorang pelajar senior untuk ke dorm bersebelahan.

"Saya tidak mahu mengikut senior itu kerana saya takut dicederakan. Sebelum ini pun mereka pernah membuli saya tapi tidak seteruk kali ini.

"Tetapi budak (pelajar) itu telah menarik saya sampai ke depan pintu dorm sebelum empat lagi kawannya datang dan terus memukul saya," katanya.

Dia yang tidak mampu melawan serangan mereka sempat bertanyakan sebab dia dipukul.

"Mereka berkata mereka suka-suka sahaja memukul saya. Bila keadaan saya semakin lemah, mereka mengheret saya ke katil dan semasa mereka mengheret lutut saya terlanggar rak kasut (daripada besi) dan menyebabkan lutut saya sakit," kata Mohd Syazwan.

Dia berkata semasa dia dipukul, ada kawan-kawannya yang melihat kejadian itu tetapi mereka tidak berani memberitahu kepada warden asrama kerana mereka juga takut dengan kumpulan pelajar senior berkenaan.

"Akibat kejadian itu, semalam saya tidak boleh berjalan untuk ke sekolah kerana lutut saya sakit dan kawan saya telah memberitahu Cikgu yang kemudiannya membawa saya ke klinik," katanya.

Johari berkata setelah beliau mengetahui kejadian itu, beliau segera pergi mengambil anaknya di asrama sekolah berkenaan.

"Semasa saya ambil Syazwan, Cikgu beritahu anak saya kena pukul dan telah dibawa ke klinik. Tetapi saya tidak berpuas hati kerana anak saya mengadu sakit lutut dan saya membawa dia ke Hospital Sultanah Bahiyah pula untuk diperiksa.

"Dan selepas pemeriksaan, doktor mendapati lutut anak saya retak," katanya.

Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Abdullah Saad berkata beliau belum menerima apa-apa laporan tentang kejadian itu dan akan meminta Pejabat Pelajaran Daerah supaya menyiasat kes berkenaan sebelum menghantar laporan ke Kementerian Pelajaran.
"Biar polis jalankan siasatan dan bagi pihak JPN (Jabatan Pelajaran Negeri), kita akan serahkan laporan kes ini kepada kementerian secepat mungkin," katanya.

sumber : MalaysiaKini










4 comments:

-[miracle]- berkata...

kesiannye ! =="

ahsfantasy24 berkata...

huhu..
da rmai yg nk jdik gengster kot,
mcm2 dak zman skrang, skula pn da trancam~

Adii NakHeran berkata...

paling menyampah kalau orang suka buli2x,,
diaorang ingat manusia ni hidup mmg nk kena buli ke????

Mohd Ridhuan berkata...

buli dah jadi trend la skrg...
xtau la kenape...
kekurangn kasih syg di rumah kot..