SEREMBAN 20 Jan. - Mahkamah Majistret Seremban hari ini membenarkan polis untuk melanjutkan tahanan reman terhadap empat remaja termasuk seorang perempuan yang disiasat dalam kes samun dan bunuh seorang warga emas di Felda Palong Dua, Jempol dekat sini pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Mohd. Sabri Muhammad memberitahu, tempoh tahanan reman terhadap keempat-empat suspek yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan.
"Polis telah memohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman sehingga Khamis depan kerana kita perlu lebih masa untuk menyoalsiasat suspek.
"Ketika ini tiada perkembangan terbaru mengenai kes itu dan pendakwaan terhadap suspek akan dilakukan sebaik sahaja siasatan selesai," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 14 Januari lalu itu, seorang warga emas, Mohtar Yusof, 71, meninggal dunia selepas ditikam dengan pisau dalam satu kejadian samun oleh sekumpulan remaja termasuk cucunya sendiri.
Kejadian tragis itu berlaku apabila mangsa bersama isterinya, Halimah Yasin, 57, dikatakan baru pulang daripada satu kenduri tahlil sebelum mendapati bilik tidur mereka sedang digeledah.
Mohtar yang bergelut dengan kumpulan penjenayah remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun itu akhirnya ditikam dengan pisau sebelum kesemua suspek lari bersama wang dan barang kemas bernilai RM10,000.
Polis yang bergegas ke lokasi kejadian menahan kesemua suspek di sekitar Jempol beberapa jam kemudian dan merampas beg yang mengandungi wang serta barang kemas tersebut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
sumber : Utusan Online
0 comments:
Catat Ulasan